Sahih Bukhari
Riwayat Hidup Imam al-Bukhari
Nama sebenar beliau ialah Abu ‘Abdullah Muhammad bin Ismail bin
Ibrahim bin al-Mughirah bin Bazdabah al-Ju’fiy al-Bukhari. Beliau lebih
dikenali dengan panggilan Imam Bukhari. Imam Bukhari diputerakan di Bukhara
pada 13 Syawal tahun 194 Hijrah bersamaan 21 Julai 810 Masihi. Manakala
sesetengah pandangan mengatakan bahawa Imam Bukhari lahir pada tahun 196
Masihi.
Imam Bukhari membesar di bawah jagaan ibubapa yang taat beribadah
kepada Allah s.w.t. Menurut Ibn Hibban, bapa Imam Bukhari sangat berhati-hati
dalam hal pemakanan terutamanya makanan yang ada keraguan (syubhah). Apabila mendapati makanan yang mengandungi
perkara-perkara syubhah, bapa Imam Bukhari akan cepat-cepat meninggalkannya. Dari
sudut pegangan mazhab, bapa Imam Bukhari bermazhab Maliki. Selain itu, bapa
Imam Bukhari terkenal sebagai salah seorang ulama hadith. Beliau pernah berguru
dengan beberapa tokoh besar seperti Malik bin Anas, Hammad bin Zaid dan Ibn
Mubarak.
Kehidupan Imam Bukhari sebenarnya banyak dipengaruhi didikan ibunya.
Hal ini kerana bapanya meninggal ketika beliau masih kecil. Menurut Abu
Shu’bah, Imam Bukhari dilahirkan dalam keadaan buta. Namun begitu, berkat doa
ibunya yang tidak putus-putus kepada Allah s.w.t. menyebabkan Allah s.w.t
memakbulkan doa beliau dan menjadikan Imam Bukhari melihat semula.
Sewaktu usia Imam Bukhari mencecah 18 tahun, beliau mula mengarang
beberapa buah di antaranya Qadaya
al-Sahabah wa al-Tabi’in (kitab ini tidak dijumpai sekarang). Kitab-kitab
karangan beliau yang lain adalah Raf al-Adyan, Qiraat Khalf al-Iman, al-Tafsir
al-Kabir, al-Musnad al-Kabir, Tarikh Soghir, Tarikh Awsat, Tarikh Kabir,
al-Adab al-Mufrad, Birr al-Walidain, al-Du’afa’, al-Asyribah, al-Hibah, Asamik
al-Sahabah, al-Wuhdan, al-Mabsuth.
Sepertimana tradisi kebanyak tokoh ilmu hadith, Imam Bukhari turut
mengembara untuk mencari ilmu. Pengembaraan beliau bermula di Makkah semasa
mengerjakan ibadah haji bersama ibunya dan abangnya Ahmad. Antara negara yang
pernah dilalui oleh Bukhari ialah Khurasan, Iraq(Baghdad), Hijaz, Syam, dan
Mesir. Imam Bukhari paling banyak mengembara ke Baghdad iaitu sebanyak 8 kali.
Oleh kerana Imam Bukhari banyak mengembara mencari ilmu, beliau
menemui dan mempelajari dengan ramai tokoh terkenal dalam pelbagai bidang. Di
antara guru-gurunya ialah Ibrahim bin Hamzah al-Zubairi, Ibrahim bin Munzir
al-Khuzaimi, Ahmad bin Hanbal, Ahmad bin Abi Tayyib al-Marwazi, Abi al-Nadhar
Ishak bin Ibrahim al-Faradisi, Ishak bin Rawahi, Thabit bin Muhammad al-Syibani
al-Zahidi, Jaa’far bin Abdullah al-Silmi al-Balkhi, Abil Yaman al-Hikami bin
Nafi’, Khalid bin Mukhalid, Abi Hashim al-Bihaq bin Mukhalid, Talaq bin Ghanam
al-Nakha’I, Sa’id bin al-Hikam bin Abi Maryam, Said bin Sulaiman al-Wasiti,
Sulaiman bin Harb, Ali bin al-Madini, Abi Naim al-Fadli bin Dakin, Kubaishah
bin ‘Uqbah, Kutaibah bin Sa’id, Qais bin Hafz al-Darimi, Muhammad bin Asabah
al-Daulabi, Abi Tsabit Muhammad bin ‘Ubaidillah a-Madini, Muhammad bin Fadli
al-Sadusi, Muhammad bin Yusuf al-Faryabi, Ibrahim al-Bakhri, Abi Salma Musa bin
Ismail Atabawwazuki, Naim bin Hamad al-Marwazi, Abi Khalid Hisyam bin ‘Abdil
Muluk al-Thayarusi, Yahya bin ‘Abdillah bin Bakhir dan Yahya bin Mu’in.
Selain daripada mendalami bidang hadith, Imam Bukhari juga terkenal
sebagai seorang pakar dalam bidang-bidang lain terutamanya bidang fiqh. Menurut Imam Ibn Khuzaimah “…. Tidak ada orang
yang bernaung di bawah lengkung langit sehebat Muhammad bin Isma’il dan
menghafazkan hadith – hadith Rasulullah. Selain itu, ia termasuk seorang
mujahid dalam ilmu fiqh yang memiliki kecermatan yang menakjubkan dalam
mengkonklusikan suatu hadith, sebagaimana anda saksikan dalam sahihnya…”.
Kerana kehebatan ilmu beliau, Imam Bukhari mempunyai ramai anak
murid. Antara murid-muridnya yang terkenal adalah Imam al-Tirmidzi, Ibrahim bin
Ishak al-Harbi, Ibrahim bin Ma’qal al-Nasafi, Ibrahim bin Musa al-Jawzi, Abu
al-Husin bin Al-Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi, Ishak bin Dawud
al-Sofi al-Tastari, Jaa’far bin Muhammad bin Musa al-Naisaburi al-Hafizi,
Jaa’far bin Muhammad al-Qattan, Husain bin Isma’il al-Muhamili, Abu Yahya
Zakaria bin Yahya al-Bazzas, ‘Abdullah bin Ahmad bin ‘Abd a-Salam Al-Khalaf
al-Naisaburi, Abu Bakar ‘Abdullah bin Abi Dunia, ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman
bin al-‘Asqar al-Qadi, Ibn Abi Hatim dan Ibn Khuzaimah.
Imam Bukhari meninggal dunia di Samarkhand pada malam hari raya
fitrah tahun 256 Hijrah bersamaan 31 Ogos 870 Masihi. Beliau meninggal dunia
semasa usia baru mencecah 62 tahun.
SUMBANGAN IMAM BUKHARI DALAM HADIS
Imam Bukhari lahir semasa zaman percampuran hadith. Ketika itu
berlakunya percampuran antara hadith – hadith dari Rasulullah s.a.w dan hadis
palsu rekaan musuh-musuh islam. Kelahiran Imam Bukhari seolah-oleh membuka
lembaran baru dalam bidang hadith terutama dalam menjernihkan kembali
hadith-hadith Rasulullah s.a.w.
Kehebatan Imam Bukhari dalam hadith tidak dapat dinafikan oleh
sesiapapun terutamanya dalam penghafalan
hadith-hadith. Menurut Abu Ahmad bin Adiy… “Aku mendengar sesetengah ulama yang
menceritakan bahawa Muhammad bin Ismail al-Bukhari suatu hari datang ke
Baghdad, kemudian para ulama hadith berkumpul bersama beliau untuk mendengar
sebuah hadith. Kemudian ulama hadith tersebut sengaja memutabelitkan kesahihan
matan dan sanad hadith untuk menguji beliau dapat menjawab bahawa sanad dan
matan hadith tersebut tidak betul dan memperbetulkannya kembali.
Dalam penghafalan hadith, Imam Bukhari dikatakan juga menghafal
serratus ribu hadith-hadith sahih dan dua ratus ribu hadith tidak sahih. Bahkan
ada yang mengatakan Imam Bukhari sebenarnya telah menghafaz melebihi sejuta
buah hadith. Oleh kerana kehebatannya, ramai tokoh-tokoh ilmuan Islam
memujinya. Antara pujian yang dilemparkan kepadanya ialah
1. Muhammad Ali pengarang buku ‘The Religion of Islam’ menekankan
dalam bab terakhir bukunya… “dalam tempat pertama, Bukhari tidak dipersoalkan
lagi kedudukannya sebagai seorang yang pertama(teratas), sedang ahli-ahli
hadith yang lainnya meniru caranya di dalam penulisan dan penyelidikan
hadith….”.
2. Al-Darimi berkata : Aku telah melihat para ulama di Haramain,
Hijaz, Syam dan Iraq, tetapi aku tidak melihat seorang yang seperti Muhammad
bin ‘Isma’il, beliau adalah orang yang lebih faqih daripada kamu dan orang yang
lebih layak dalam menuntut ilmu”.
PENGENALAN KEPADA SAHIH BUKHARI
Nama Kitab
Nama asal kitab Sahih Bukhari ialah al-Jami’ al-Musnad al-Sahih
al-Mukhtasar Min Hadith Rasul Allah Wa Sunan Wa Ayyamihi. Kitab ini lebih
terkenal dengan panggilan Sahih Bukhari. Hal ini mungkin kerana lebih mudah
disebut dan ketokohan yang ada dalam diri Imam Bukhari sendiri.
Hadith-Hadith dalam Sahih Bukhari
Hadith-hadith yang terdapat dalam Sahih Bukhari adalah hadith-hadith
yang sahih dari Rasulullah s.a.w. Imam Bukhari sendiri pernah berkata “Aku
tidak meriwayatkan di dalam kitabku ini kecuali hadith-hadith sahih yang aku
tinggalkan. Walaupun begitu sekiranya diteliti, terdapat juga hadith yang
dikategorikan sebagai hadith Mauquf, Maqtu’, dan hadis Muallaq yang disebutkan
di dalam sahih ini. Namun begitu, hadith-hadith hanya sekadar matabi’ sahaja
dan bukan asas penulisan ini.
Bilangan hadith yang terdapat di dalam Sahih Bukhari adalah 9082
hadith. Daripada jumlah tersebut, terdapat sebanyak 6397 hadith sahih termasuk
hadith yang diriwayatkan secara berulang-ulang. Manakala hadith-hadith yang
tidak berulang pula terdapat 2523 buah hadith. Hadith-hadith ini tidak termasuk
hadith-hadith tambahan iaitu hadith mu’allaq kerana hadith ini tidak dikira
sebagai hadith asal Sahih Bukhari.
Hadith yang dikumpulkan ini adalah hasil analisis beliau terhadap
600 000 hadith yang telah dihafaznya. Manakala pandangan yang lain menyatakan
700 000 hadith. Hadith-hadith yang terdapat di dalam Sahih Bukhari meliputi
perbahasan tentang aqidah, hukum-hakam, ibadah. Kelebihan-kelebihan, sejarah,
tafsir, dan disusun mengikut bab-bab tertentu.
Metodologi Penulisan
Menjadi suatu tradisi ilmiah, pastiya penulisan tersebut mempunyai
metodologi penulisannya tersendiri walaupun penulisnya tidak menyatakan
metodologinya. Begitu juga dengan Imam Bukhari, sewaktu menghasilkan kitabnya
itu, Imam Bukhari telah meletakkan metodologi-metodologi tertentu agar kitabnya
dalam dihasilkan dengan baik. Sesuai dengan kata-katanya sewaktu hendak
memasukkan sesuautu hadith “ Aku tidak meletakkan sesuatu hadith di dalam kitab
sahihku melainkan aku solat rakaat terlebih dahulu”.
Imam Bukhari sepertimana beberapa tokoh penulis tidak menyatakan
metodologi penulisannya. Akan tetapi ulama selepasnya mengkaji dan membuat satu
ketetapan mengenai rekod penulisan beliau. Sepanjang 16 tahun kau menyiapkan
penulisan ini, pelbagai metodologi beliau gunakan sehingga menjadikan karya ini
diiktiraf sebagai kitab hadith paling sahih.
Syarat-Syarat Hadith dalam Sahih Bukhari
1. perawi hadis mestilah seorang yang adil, thiqah dari sudut
riwayat dan sifat sifatnya.
2. Hadith-Hadith tersebut mestilah bersambung sanadnya kepada
Rasulullah s.a.w.
3. hadith-hadith tersebut mestilah disandarkan kepada Rasulullah
s.a.w bukan hanya setakat sahabat dan tabi’in.
4. perawi yang meriwayatkan hadith mestilah mengambil sendiri hadith
daripada gurunya dan tidak memadai hanya sekadar hidup sezaman.
Susunan Hadith
Dari sudut penyusunan kitab hadith, para muhadithin mempunyai
metodologi-metodologi tertentu. Sebagai contoh Imam al-Tirmidzi di dalam
sunannya menyusun mengikut bab-bab di dalam feqah manakala Imam Ahmad bin
Hanbal pula menyusun mengikut nama-nama sahabat. Di dalam hal ini, Imam Bukhari
mempunyai cara tersendiri dalam penyusunan kitab beliau.
Imam Bukhari menyusun hadith-hadith mengikut bab-bab tertentu di
dalam Sahih Bukhari. Beliau membahagikan hadith-hadith di dalam 97 Kitab yang
meliputi hukum feqah, ibadah, muamalah dan sirah. Imam Bukhari kemudiannya
membahagikan Kitab-Kitab ini dengan bab-bab tertentu sesuai dengan hadith yang
dimasukkan. Sebagai contoh di dalam Kitab al-‘Ilmi, Imam Bukhari
membahagikannya kepada 53 bab bermula dengan “Bab Fadl al-‘Ilmi” dan berakhir
dengan “Bab Man Ahaba al-Sail Bi Akhthari Minma Saalahu”.
Kitab-Kitab Syarah
Oleh kerana kitab Sahih Bukhari merupakan semata-mata kitab himpunan
hadis sahih, ramai ulama selepas itu mengambil inisiatif mengarang kitab syarah
kepada kitab tersebut. Antaranya kitab-kitab syarah kepada Sahih Bukhari adalah
1. Ibn Hajar al-‘Asqalani mengarang kitab Fath al-Bari Bi Syarh
al-Bukhari.
2. Al-Kirmani Muhammad bin Yusuf mengarang kitab al-Kawakib
al-Darari Fi Syarh Sahih al-Bukhari.
3. Mahmud bin Ali al-Ayni mengarang kitab ‘Umdah al-Qari.
4. Ibn Muhammad al-Khatabi mengarang kitab A’lam al-Muhaddith.
Pendapat Ulama Tentang Sahih al-Bukhari
Kerana kehebatan Sahih Bukhari, ramai ulama memberi komen baik
tentang kitab tersebut. Menurut Rosmawati bt Ali @ Mat Zin, kemuncak kepada
pengembangan hadith bermula dengan kemunculan Imam Bukhari dengan kitabnya
Sahih al-Bukhari. Kemudian barulah disusuli dengan beberapa tokoh dengan karya
masing-masing yang kemudiannya dikenali dengan Sunan al-Sittah.
Ibn Subki pula pernah menyatakan “ Kitab Bukhari Jami’ Sahih itu
sebesar-besar kitab Islam sesudah kitab Allah al-Quran. Hafiz Ibn Kathir
menyimpulkan bahawa para ulama telah ijma’ untuk menerima kitab Sahih
al-Bukhari dan keabsahan isinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan